Pemaju Bantah Konsep Bina Dahulu & Jual Kemudian Rumah (BTS)

by Staff Agenda Semasa on September 6, 2012 · 4 comments

Cadangan Kerajaan untuk Konsep bina Dahulu dan Jual Kemudian (BTS) untuk projek perumahan mendapat tentangan hebat daripada pemaju perumahan utama negara.

Untuk makluman, kerajaan bercadang untuk mengkaji konsep BTS ini dimana pelaksanaannya akan dibuat pada tahun 2015 kelak, sekiranya ia mendapat maklum balas yang responsif dan positif dari semua pihak.

Namun, nampaknya, “beberapa” pemaju terkenal tidak bersetuju dengan kaedah ini. Alasannya adalah, industri atau pertumbuhan rumah akan jatuh sebanyak 80% menjelang tahun 2015 dan ini akan meningkatkan lagi harga rumah.Alasan tersebut dikeluarkan sendiri oleh REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia), Datuk Ng Seing Liong.

Kami berpendapat bahawa, alasan yang dikemukakan adalah tidak bernas sekali. Sebelum pelaksanaan dasar BTS inipun, harga rumah kian meningkat. Untuk sesetengah tempat kawasan ‘panas’ seperti di Kuala Lumpur, Shah Alam dan sebagainya, kadar purata kenaikan harga rumah meningkat sebanyak 10-30 peratus setahun, dimana ianya melibatkan jumlah peningkatan yang besar.

Alasan kedua mengatakan pertumbuhan projek perumahan yang menguncup, juga amat dangkal sekali. Bagi kami, ini alasan untuk tidak bersetuju tanpa kompromi dari REHDA. Umum mengetahui bahawa, kebanyakan pemaju perumahan memang tidak mempunyai sumber modal yang besar (kecuali pemaju Perumahan terkenal) untuk membina projek perumahan.

Dan kebiasaannya, mereka akan menjual rumah terlebih dahulu kepada pembeli, walaupun baru membuat proses pecah tanah. Dan kebiasaannya juga, bagi menarik pembeli, harga rumah yang masih dalam pembinaan lebih murah dan meningkat naik mengikut proses siap harga rumah tersebut.

Oleh itu, akan ramai yang membeli rumah pada harga yang lebih murah. Namun, dalam masa yang sama, sudah acapkali berlaku masalah projek terbengkalai, dimana kesusahan terbuet akan kembali kepada pembeli yang terpaksa menjelaskan ansuran bulanan terhadap rumah yang tidak siap selama berpuluh tahun!

Dan pemaju projek perumahan tidak akan dikenakan apa-apa tindakan mahupun membantu pembeli-pembeli tersebut. Atau, dalam bahasa mudah, lepas tangan. Rata-rata, ramai bakal pembeli rumah menyambut baik kaedah BTS  dan mereka sebenarnya tidak kisah dengan harga rumah yang sedikit mahal, berikutan membeli rumah yang sudah siap, lebih kurang risiko berbanding dengan rumah yang belum siap.

Mengapa pula pihak REHDA merasakan perkara ini menggugat perniagaan mereka? Apa pendapat anda mengenai isu ini?

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

{ 4 trackbacks }

Previous post:

Next post: